TEMAN

DEMI MASA

Sunday, August 01, 2010

Ramadhan & Palestin

Pastinya kehangatan Ramadhan yang semakin menjelang tiba menyebabkan umat Islam menantikannya dengan penuh keazaman dan penuh pengharapan. Keazaman untuk melakukan yang terbaik bagi ramadhan tahun ini dan pengharapan agar segala amalan yang dilaksanakan di bulan yang mulia ini diterima Allah swt. Justeru itu ramai dikalangan umat Islam menggandakan amalan pahala mereka di bulan ini dengan janji pahala akan dilipat gandakan. Suasana menyambut kedatangan ramadhan didahului dengan puasa sunat dan sedekah di bulan Rejab dan Sya’aban iaitu persediaan-persediaan rohani untuk menyambut kedatangan ramadhan. Semuanya ini berdasarkan keyakinan bahawa Allah swt akan sentiasa melihat dan menghitung segala amalan yang dilakukan oleh seorang hamba yang penuh pengharapan kepadaNya.

Nun disana, saudara seakidah dengan kita, sebagai seorang muslim atau atas dasar sifat kemanusiaan bagi bukan Islam, rakyat Palestin berada di dalam penindasan yang berterusan sehingga 60 tahun lamanya. Seolah-olah negara Islam tidak melihat apa yang sedang berlaku disana termasuklah negara jiran terdekatnya iaitu Mesir. Negara yang dahulunya adalah negara milik umat Islam tetapi dengan rakus, pihak zionis menguasainya melalui peperangan, pembunuhan dan perampasan tanah yang berterusan. Kedatangan ramadhan disambut oleh mereka sebagaimana persediaan yang dilakukan oleh umat Islam yang lain dengan penuh kesyukuran dan pengharapan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah swt agar kemenangan akhirnya akan menjadi milik umat Islam. Allah boleh sahaja memberi kemenangan sebagaimana burung ababil melontarkan batu-batu kecil kepada tentera bergajah Abrahah dan begitu juga Allah berkuasa untuk menenggelamkan manusia yang zalim sebagaimana yang dilakukannya kepada pengikut Nabi Nuh malah Allah sangat berkuasa untuk menebalikkan bumi yang dihuni oleh manusia zalim sebagaimana yang dilakukan kepada kaum Nabi Luth. Semuanya itu menunjukkan kekuasaan Allah dan pada masa yang sama juga Allah boleh sahaja menghantar bala tenteranya membantu rakyat Palestin yang sedang berjuang dengan penuh kegigihan sehingga akhirnya zionis lenyap di atas muka bumi ini. Kenapa ianya tidak berlaku di bumi yang penuh dengan keberkatan ini. Mungkin pertanyaan ini akan berlegar di fikiran ramai dikalangan umat Islam. Tidakkah ini merupakan satu ujian dan dugaan untuk umat Islam berfikir siapakah di kalangan mereka yang benar-benar berada dalam naungan Islam atau yang bersekongkol dengan zionis yang zalim. Tidakkah ini juga sebagai saringan kepada umat Islam untuk mengetahui siapakah dikalangan mereka yang benar-benar bersama dengan para pejuang kebenaran atau bersama-sama dengan mereka yang berada di dalam kebathilan.

Ramadhan Satu Kemuliaan Umat Islam yang menyedari hakikat kelebihan ramadhan dan tidak mahu dirinya termasuk dalam golongan yang bersekongkol dengan rejim zionis akan berusaha untuk membantu rakyat Palestin. Rakyat Palestin merupakan rakyat yang wajib dibantu tidak kira siapa kedudukan kita dan di mana kita berada. Jika masyarakat Barat berusaha membantu mereka atas dasar peri kemanusiaan, kenapakah kita sebagai umat Islam tidak rasa bertanggungjawab membantu mereka atas dasar satu aqidah, persaudaraan Islam dan peri kemanusiaan… Kemuliaan ramadhan dengan ganjaran pahalanya perlu direbut apatah lagi memberi makan kepada mereka yang berpuasa. Tidakkah rasul s.a.w bersabda:”Barangsiapa yang melakukan satu amalan kebaikan padanya, maka baginya ganjaran seumpama melakukan satu amalan fardhu…”"Barangsiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (sewaktu berbuka), maka baginya keampunan terhadap dosa-dosanya, diselamatkan batang tengkuknya dari api neraka dan baginya ganjaran pahala yang sama seperti orang yang berpuasa itu tanpa berkurang walau sedikit pun”.

Peluang terbuka luas kepada kita untuk berbakti dan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah apatah lagi kepada mereka yang wajib menerimanya iaitu rakyat Palestin. Mereka adalah wakil umat Islam sedunia yang sedang berjuang bermati-matian bagi menghadapi pencerobohan dan penindasan yang berterusan oleh rejim zionis. Itulah sebabnya Dr. Yusuf Qardawi menyatakan duit riba pun halal untuk diberikan kepada mereka. Semuanya atas dasar keperluan mendesak yang mereka perlu terima disebabkan kesengsaraan yang dialami apatah lagi di saat negara-negara umat Islam membisu terhadap kejadian Holocust kedua yang berlaku di Semenanjung Gaza.

Kemenangan-kemenangan umat Islam banyak berlaku di bulan yang penuh barakah ini. Tidakkah Badr menyaksikan bilangan yang sedikit mengalahkan bilangan yang ramai ! Gambaran ini jelas sedang berlaku kepada rakyat Palestin yang berjuang dengan kebenaran. Mereka dikelilingi oleh rejim zionis yang disokong oleh kuasa besar dunia tetapi tetap mempertahankan walau seinci bumi ini daripada dinodai oleh najis Yahudi. Perjuangan mereka tidak boleh dikhianati oleh pengiktirafan kewujudan negara haram ini dan ramadhan perlu diinsafi bahawa perjuangan membebaskan tanah air umat Islam ini perlu dikongsi bersama oleh seluruh umat Islam. Janganlah ada yang mengkhianati perjuangan mereka untuk membebaskan Palestin.

Allah memperingatkan kepada kita melalui firmannya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman ! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul dan janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu sedang kamu mengetahui”.

Para pejuang kebenaran di Palestin wajib dibantu kerana mereka sebenarnya pahlawan-pahlawan Islam yang tidak rela walau seinci tanah mereka dikuasai zionis. Mereka berusaha dan terus berusaha dengan penuh strategi dan tawakkal kepada Allah agar kemenangan mutlak akan tercapai oleh mereka. Tidakkah menjadi satu kerugian kepada umat Islam jika tidak membantu apatah lagi merekalah yang mengimarahkan Masjidil Al-Aqsa, kiblat pertama umat Islam. Di saat umat Islam di Malaysia berbuka puasa di masjid atau rumah dengan juadah yang bermacam-macam, rakyat Palestin mengharapkan bantuan agar pengimarahan Masjid al-Aqsa dengan program puasa di kawasan yang penuh keberkatan ini dapat dilaksanakan. Ketika kita menjamu selera dengan aman tenteram, rakyat Palestin berbuka puasa dihadapan tentera zionis yang sentisa mengacu rifel dan meriam kereta kebal mereka. Keperitan ini terpaksa ditelan oelh mereka dengan penuh kesabaran dan pengharapan sempena kedatangan ramadhan kali ini kerana mereka berkeyakinan bahawa Palestin akan dibebaskan sebagaimana yang dilakukan oleh Solahuddin al-Ayyubi yang membebaskan Palestin dari cengkaman dan penindasan tentera-tentera salib. Mereka pasti, berita kemenangan ini semakin dekat ! Semoga Palestin hidup di hati umat Islam sempena kedatangan ramadhan yang penuh keberkatan ini.

Sumber : Aman Palestin's weblog

No comments:

Post a Comment

ARKIB NEGARA

KATEGORI

agama (87) Akhlaq dan Nasehat (1) Aqidah (1) Bencana alam (20) Cerita nasihat (24) formula (1) haji (22) Jumaat (8) keluarga (18) Kesihatan (13) Luar Negeri (5) Mekah (2) politik (4) Ramadhan (30) sahabat (3) Sains (17) sajak (8) Seni (2) surah aljumuah (1) tips (18) Umum (50) video (9) video nasyid (1)

My Salute