Ayam sudah siap terhidang.
Lama pula saya mengelamun. Pelbagai perkara yang mengimbau ingatan saya sambil memasak di dapur. Kebetulan Fatih,dan rakan-rakan yang lain sedang sibuk menelaah pelajaran untuk peperiksaan akhir semester. Saya sudah selesai menjalani peperiksaan yang sama di Jordan dua minggu lalu. Kehadiran saya ke Turki sekurang-kurangnya dapat membantu kawan-kawan saya ini belajar dengan lebih baik. Biar soal makan minum,saya bantu seadanya.
“Fatih, Islam, Hasan, Faruk, Osman, marilah makan!” Saya menjerit memanggil mereka yang khusyuk di meja bacaan masing-masing.
Setiap kali makan, kami akan membentangkan dua keping surat khabar lama. Tujuan utamanya adalah untuk memastikan sisa makanan tidak jatuh ke karpet. Akan tetapi, malam itu perhatian saya terpaut kepada tindak-tanduk rakan saya ketika makan, terutamanya Islam.Setiap kali beliau mematahkan roti, beliau akan melakukannya di atas mangkuk nasi. Seandainya masih ada serbuk-serbuk dari kulit roti itu bertaburan di atas lapik, Islam akan mengumpulkannya untuk dimakan. Tidak ada langsung sisa makan yang terbuang.
“Islam, saya suka tengok cara awak makan. Tidak ada tersisa langsung. Berkat, berkat...!” Saya memuji Islam.
“Betul Hasrizal. Ia soal keberkatan. Walaupun macam-macam yang kita makan, kita tidak tahu pada bahagian mana makanan kita yang Allah pilih sebagai asbab untuk-Nya menurunkan barakah,” kata Islam.
Ya, apa yang Islam katakan itu memang benar. Ia mengingatkan saya kepada sepotong hadis Nabi SAW :
Daripada Jabir, beliau mendengar Nabi SAW bersabda:
“Apabila sesiapa dari kalangan kamu makan, dan jatuh sejemput dari tangan, maka bersihkanlah habuk yang terlekat pada makanan itu dan hendaklah dia memakannya. Jangan tinggalkan bahagian itu untuk syaitan. Dan janganlah dibersihkan tanganmu dengan kain pengelap sehingga dia telah menjilat (jari-jari)nya. Sesungguhnya seseorang itu tidak tahu pada bahagian manakah makanannya yang diberkati Allah.”
Islam telah mengingatkan saya kepada pelajaran yang amat berharga. Pak Cik Mehmet juga telah mengingatkan saya tentang ilmu yang berguna. Jangan pandang kecil, selagi ia berupa satu kebajikan dan kebaikan yang kecil semata-mata mahu menunggu peluang amal yang besar.
Itu di Turki.
Petikan dari buku Secangkir teh pengubat letih
oleh Hasrizal abu Jamilhttp://saifulislam.com/
No comments:
Post a Comment