TEMAN

DEMI MASA

Thursday, September 01, 2011

BAWA AMALAN-AMALAN INI KE LUAR RAMADHAN

BAWA AMALAN-AMALAN INI KE LUAR RAMADHAN

Walaupun Ramadhan telah berlalu 2 minggu, tetapi semangat Ramadhan itu mesti sentiasa dihangat-hangatkan.Target utama puasa Ramadhan iaitu TAQWA mesti sentiasa disuburkan. Ia tidak terhenti dengan habisnya Ramadhan. Paling kurang setiap minggu khatib akan mengingatkan sidang Jumaat dengan TAQWA di atas mimbar. Ada beberapa amalan yang mesti dijadikan rutin harian agar TAQWA itu sentiasa subur: (audio: 1amal 01 oct 09 2amal 01 oct 09)


1. Bacaan al-Quran-Kita mendekati al-Quran dalam bulan Ramadhan. Orang yang tak biasa baca al-Quran akan membuka juga al-Quran dalam bulan Ramadhan. Di luar Ramadhan, amalkan surah al-Waqi’ah dan al-Mulk setiap malam sebelum tidur. Kepapaan (dalam tafsiran yang cukup luas) mesti dihindari. Alam barzakh mesti terang benderang dan selesa didiami. 2 surah itu insyaAllah dapat membantu. Malam atau siang Jumaat bacalah surah al-Kahfi. InsyaAllah selamat dari fitnah Dajjal dan diampunkan dosa 7+3 hari. Di waktu lain, bacalah al-Quran menurut urutan surahnya hingga khatam.

2. Solat Witir-Tiba sahaja Ramadhan, antara soalan yang ditanya ialah tentang solat witir. Kalau sudah solat witir selepas terawih, malam nanti tahajjud, adakah kena tutup balik dan sebagainya sering ditanya. Witir disunatkan sepanjang malam, tidak di bulan Ramadhan sahaja. Ada ulama terdahulu yang cukup mengambil berat tentang witir dan sunat Dhuha. Lakukanlah paling kurang 3 rakaat witir setiap malam selepas Isyak. Jangan tunggu pulang ke rumah. Kalau sudah pulang ke rumah, memang payah untuk solat.

3. Zakat/sedekah-Zakat fitrah hanya dalam bulan Ramadhan. Zakat yang lain menurut nisab dan haul dan syarat-syaratnya, tidak terhenti dalam bulan Ramadhan sahaja. Sedekah berpanjangan sepanjang tahun. Bersihkanlah harta itu dan suburkan ia dengan zakat dan sedekah.

4. Puasa-Puasa wajib selama sebulan sebelah siang hanya dalam bulan Ramadhan, tetapi puasa sunat boleh dibuat sepanjang masa. Isnin Khamis, hari Arafah, 10 Muharram adalah antara puasa yang boleh dibuat.

5. Qiamullail/Tahajjud-Dalam bulan Ramadhan, sesetengah masjid/surau begitu aktif menganjurkan program qiamullail dan solat tahajjud. Walaupun ia agak sukar untuk dibuat setiap malam, tetapi berusahalah paling tidak seminggu sekali atau sebulan sekali agar tahajjud dapat dilakukan. Hampirilah Allah Taala dengan amal sunat ini. Carilah kasihNya melalui tahajjjud. Temui ketenangan hakiki melalui munajat di sepertiga malam terakhir ini.

6. Tazkirah-Biasanya tazkirah dibuat selepas 4 rakaat terawih, kemudian disambung 4 rakaat lagi. Allah berfirman, maksudnya: ‘Berilah peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat kepada orang mukmin.’ Carilah majlis-majlis tazkirah, kuliah, ceramah sepanjang tahun di surau dan masjid. Kehidupan seharian sering melalaikan kita dari tugas kekhalifahan di bumi Allah ini. Tazkirah boleh mengingatkan kita kembali tentang tugas itu.

Ini adalah sebahagian dari amalan yang dibuat sepanjang Ramadhan oleh sebahagian orang. Sekali lagi, berusahalah untuk menjadikan amalan-amalan ini sebagai rutin harian agar TAQWA itu terus subur hingga Ramadhan akan datang atau hingga Malakul Maut menjemput kita.

(Ustaz Nik Muhammad Nasri bin Nik Malek)

No comments:

Post a Comment

ARKIB NEGARA

KATEGORI

agama (87) Akhlaq dan Nasehat (1) Aqidah (1) Bencana alam (20) Cerita nasihat (24) formula (1) haji (22) Jumaat (8) keluarga (18) Kesihatan (13) Luar Negeri (5) Mekah (2) politik (4) Ramadhan (30) sahabat (3) Sains (17) sajak (8) Seni (2) surah aljumuah (1) tips (18) Umum (50) video (9) video nasyid (1)

My Salute